• 26 Nov 2020 | 10 Rabiul Akhir 1442

PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi

DUNGUN, 8 November – Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak panik tentang kekurangan bekalan barangan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara itu bukan pengalaman pertama negeri menghadapi cabaran tersebut kerana sudah melalu ujian getir yang sama pada pertengahan tahun ini.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana semua barang keperluan mencukupi. Beberapa jabatan kerajaan negeri termasuk di Wisma Negeri dan agensi lain sedang berbincang langkah dan strategi dalam menghadapi ujian ini.

“Jika di Ketengah Jaya, tiada masalah kekurangan barangan kerana Pegawai Daerah di sini merupakan pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang akan pastikan barangan dapat disalurkan ke dalam kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemberian bantuan kepada penduduk yang dikenakan PKPB di Ketengah Jaya, Mukim Rasau hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.

Mengulas tentang inisiatif bantuan kawasan tersebut, Hanafiah berkata, pusingan kedua penyerahan bantuan barangan basah dan keperluan harian kepada 932 orang penerima terdiri daripada mereka yang dikuarantin di rumah beserta keluarga masing-masing.

“Fokus kita kepada mereka yang dikuarantin dan memakai gelang kerana tidak boleh keluar untuk beli barangan harian. Namun begitu, kedai-kedai di sini masih dibuka untuk orang lain.

“Antara kawasan yang terlibat dalam bantuan iaitu Kerteh Satu, Kertih Enam, Kerteh Lima dan Kerteh Empat di mana bantuan diberi kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk disalurkan kepada penerima sekali setiap empat hari.

“Buat masa sekarang, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Ketengah Jaya sedang giat membuat saringan, saya dimaklumkan kira-kira lebih 3,000 orang telah menjalani saringan.

“Kerja ini akan diteruskan sehingga mencapai matlamat kerana penduduk kawasan Ketengah Jaya kira-kira 17,000 ribu orang. Jika didapati mereka yang disyaki negative atau kena kuarantin Insya-Allah kita akan tambahkan bantuan,” ulasnya lagi.

Tegasnya, masyarakat khususnya di seluruh Terengganu diingatkan agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19.