• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PKPD : Jawatankuasa Khas Pelihara Kebajikan PAKR Anak Ikan

BESUT, 3 Ogos - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan berperanan memelihara kebajikan penduduk terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan tersebut turut berperanan memastikan 722 orang masyarakat berumur mulai satu hingga 80 tahun ke atas tidak tercicir.

“Bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan sehingga 16 Ogos di kawasan tersebut jadi penduduk tidak perlu bimbang.

“Semoga dapat bersabar warga PAKR Anak Ikan Jabi. Tempoh sukar dua minggu ini insya-Allah kita lalui bersama. kebajikan adik kakak semua keutamaan kami,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang semalam.

Dalam perkembangan sama, seramai 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut telah diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan penularan wabak dikawal.

Kerja saringan selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa itu berikutan kedudukan kampung tersebut berdekatan dengan PAKR Anak Ikan.

“Kira-kira 250 penduduk pada Isnin akan disaring di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan manakala selebihnya pada Selasa.

“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.

“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.