• 24 Jun 2021 | 14 Zulkaedah 1442

PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan

HULU TERENGGANU, 16 Februari – Lebih 220 sumbangan pek makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 583 orang penduduk di 198 buah rumah di Felda Tersat, Ajil yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil menyalurkan bekalan sumbangan kepada penduduk kampung Felda Tersat.

Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan dan parti pemerintah tidak akan meminggirkan rakyat mahupun penduduk yang dikenakan PKPD khususnya dalam kawasan Hulu Terengganu ini.

“Bantuan bekalan keperluan dan makanan yang disalurkan ketika PKPD dilakukan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kepada rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat,"jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan bantuan bekalan tersebut, baru-baru ini.

Turut hadir dalam penyampaian sumbangan bekalan tersebut ialah Yang Berhormat Adun Ajil, Maliaman Kassim, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Naraza Muda, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa

Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan dua lokaliti di daerah Hulu Terengganu ini, iaitu  Felda Tersat, Ajil dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD yang bermula pada 14 Februari sehingga 17 Februari 2021.

Tambah Muhyidin, sumbangan yang diserahkan itu, telah diwakili oleh Pengerusi JPKK Felda Tersat untuk diagihkan bekalan makanan untuk keluarga yang dikuarantin di penempatan tersebut.

“Ia bagi memastikan semua sumbangan-sumbangan ini dapat sampai ke setiap keluarga penduduk yang merupakan sebahagiannya adalah peneroka Felda bagi kawasan ini.

“Saya berharap, dengan penyaluran bantuan sumbangan yang sedikit sebanyak ini, dapat membantu meringankan sedikit bebanan penduduk yang mana mereka ini tidak dapat keluar masuk untuk mencari bekalan ataupun keperluan yang lebih di luar sana, akibat daripada PKPD yang masih berkuatkuasa sehingga hari ini,"ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa, supaya kebajikan rakyat dan masyarakat setempat terus terjaga dan terbela.

 

 


​​​