• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19

MARANG, 13 Oktober - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM) mengambil inisiatif membantu kontak rapat mangsa COVID-19 yang sedang menjalani perintah kuarantin di dua lokasi berasingan di daerah ini.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, bantuan wang tunai yang diagihkan melalui Pejabat Daerah Marang itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak itu membeli pelbagai barangan keperluan.

“Antaranya makanan, barangan kelengkapan diri, naskah al-Quran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang yang turut bersama-sama membantu.

Katanya, pendekatan itu pastinya dapat mengurangkan beban pihak lain untuk membeli pelbagai keperluan diri bagi kontak rapat mangsa COVID-19.

“Setiap penempatan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai mempunyai bilangan kontak rapat yang agak ramai.

“Keadaan itu pastinya memerlukan perbelanjaan yang agak besar, terutama bekalan makanan dan barangan keperluan diri,” katanya.

Berdasarkan rekod, setakat ini seramai 162 orang kontak-kontak COVID-19 yang sedang dikuarantin. Kebanyakan mereka adalah daripada warganegara Malaysia yang bukan dari daerah Marang.

 

 


Tag: