lightning-solid
Berita :
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
26 Aug 25
667

DUNGUN, 26 Ogos - "Please Take Care of Our Turtles!," itu mesej ringkas dititipkan oleh DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada papan kenyataan 'Mesej Untuk Penyu' ketika mencemar duli berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang, hari ini.

Dalam lawatan kerja Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) ke pusat konservasi haiwan ikonik Terengganu itu, Baginda berkenan mendengar penerangan tentang sejarah penubuhan pusat tersebut dari Ketua  Daerah Perikanan Dungun, Abd Halim Mat Noor.

Keberangkatan tiba Tengku Muhammad Ismail pada jam 10.00 pagi diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Terengganu, Dato' Rosli Latif bersama Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Yang Dipertua Daerah, Lukema Meri Salleh, Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat dan Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Nurruhudayu Rani.

Dalam kunjungan itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu sempat mencemar duli meraikan kira-kira 30 anak-anak Tabika KEMAS Rantau Abang dan Rimbunan Kasih yang melakukan aktiviti mewarna di pusat terbabit.

Selesai kunjungan di sana, Baginda turut berkenan melawat Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang.

Pengarah IPP, Sharum Yusof menyampaikan fungsi institut berkenaan yang komited dalam pemuliharaan ekosistem marin negara kepada Tengku Muhammad Ismail menerusi pameran rangka dan dapatan spesies mamalia marin terancam.

Lokasi lawatan kerja berakhir di ladang Rimbunan Kasih yang telah dipulihkan semula melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC).

Baginda berkesempatan melihat hasil tanaman Melon Manis Terengganu menggunakan teknik hidroponik yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat MCT Sdn Bhd menerusi Teras Bertindak Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan