• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Persekutuan Perlu Hayati Bidang Kuasa Kerajaan

BESUT, 12 Januari - Kerajaan Persekutuan perlu menghayati bidang kuasa kerajaan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara, ujar Menteri Besar Terengganu ketika diminta mengulas mengenai bantuan banjir agensi Persekutuan yang tidak diagihkan melalui kerajaan negeri sebagaimana didakwa pelbagai pihak.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan yang berlaku di peringkat Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya membabitkan sebarang bantuan dan hak rakyat Terengganu.

"Wujud bidang kuasa tertentu antara kerajaan negeri dan persekutuan, di mana setiap perbincangan, pertemuan dan sebagainya perlu dihormati dalam melaksanakan apa yang ada dalam senarai bidang kuasa bersama.

"Belum lagi 60 hari, tidak sampai lagi 100 hari, saya percaya kerajaan persekutuan yang wujud pada hari ini tidak ingin melaksanakan politik sengketa, terpulanglah kepada mereka bagaimana untuk dilaksanakan," ujarnya ketika hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan banjir Daerah Besut. di Putera Square, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Pengerusi PN Terengganu itu berkata semuanya berjalan lancar.

"Terengganu tiada sebarang masalah di kalangan rakan-rakan muafakat politik dalam PN, kita duduk dan bincang dalam waktu yang singkat sahaja.

"Kerana yang penting bagi kita bagaimana mencari jalan untuk meletakkan calon yang terbaik bagi melaksanakan amanah serta berkhidmat untuk rakyat dengan cara yang paling terbaik," ujarnya lagi.