• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PMINT Dan Anak Syarikat Nadi Penggerak Ekonomi Negeri

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - PMINT dan anak-anak syarikat kumpulannya kini diberi kepercayaan tinggi sebagai salah satu nadi penggerak ekonomi negeri.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata,  anak syarikat kerajaan negeri itu diharap melipatgandakan usaha dan kerja untuk meningkatkan pembangunan negeri.

“Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu telah memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat. 

“Urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023, di sini hari ini.

Katanya, PMINT dan anak-anak syarikat kumpulan PMINT melalui sektor pembangunan hartanah, perlombongan Mineral dan REE, pertanian, pembuatan, pelancongan, perhotelan dan pengangkutan awam telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif.

“Kali ini kita bergerak dengan misi yang lebih besar. Jika penggal pertama, kita bergerak dengan gear satu, kali ini terus gear tiga...tentunya lebih banyak perkara yang lebih agresif perlu kita laksanakan.

“Saya juga berharap PMINT dan Kumpulan Anak Syarikat akan terus memperkasakan peranan untuk membantu kerajaan negeri dalam usaha mengalakkan pertumbuhan ekonomi, industri dan perdagangan dengan mengendalikan peluang perniagaan dalam industri yang lebih kompetitif,”ujarnya.