• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni

KUALA TERENGGANU, 27 Februari –  Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepimpinan kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalankan tugas yang terbaik.

“Walaupun berdepan dengan kedudukan yang sukar terutamanya menghadapi ketidaktentuan politik dan keadaan ekonomi yang merudum, banyak perkara telah dibatalkan dan sebagainya, kita masih berjaya mengawal dengan baik.

“Dalam masa sama kita juga berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19, namun kerajaan PN telah melakukan yang terbaik bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tak begitu harmoni pada tahun sebelum ini semasa awal 2018,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.

Mengulas berkenaan dakwaan UMNO yang ingin ‘merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), beliau berkata perbincangan masih berjalan di peringkat pusat.

“Ada formulanya, selagi belum berakhir perundingan kita akan pertimbangkan apa juga kemungkinan, tentulah mana-mana parti ingin mempertahankan hak masing-masing.

“Kita akan melihat kerusi-kerusi lain dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan menentukan siapa yang sesuai bertanding atas faktor boleh menang kerana kita ingin mencapai kemenangan yang maksimum dalam PRU-15,” tambahnya.