• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PN Mula Runding Pembahagian Kerusi Peringkat Awal - Ahmad Samsuri

MARANG, 22 Julai - Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ianya baru di peringkat permulaan.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara tersebut ekoran pertemuan rasmi antara PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diwakilinya di ibu negara semalam.

"Ya antara agenda pertemuan semalam adalah pengagihan kerusi di peringkat negeri, bagaimanapun kita belum membincangkan dengan lebih dalam tentang perkara itu. Kita lebih fokus kepada agenda penting iaitu memperkasakan kesatuan dalam PN.

"Masing-masing ada 'wishlist' (kehendak) yang perlu diharmonikan. Maka akan ada pertemuan demi pertemuan untuk membincangkan perkembangannya dari masa ke masa," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sangat positif dan dalam keadaan mesra antara kesemua wakil-wakil parti.

Turut mengiringi Ahmad Samsuri, pimpinan utama PAS termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Dalam pertemuan berkenaan, parti UMNO diwakili oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Yaakob manakala Bersatu diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Terdahulu Ahmad Samsuri menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.