• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Polis Tahan Wanita Rohingya, Dua Anak Aktif Pecah Rumah

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Polis Terengganu menahan seorang wanita warga Rohingya dan dua anaknya yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Kemaman, sejak awal tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan wanita berusia 33 tahun dan dua anak perempuannya berumur 13 serta 14 tahun kira-kira jam 7 petang kelmarin, adalah susulan laporan polis daripada seorang wanita yang memaklumkan rumahnya di Kampung Pengkalan Sir, Kemaman, dipecah masuk kira-kira jam 1 tengahari pada hari yang sama.

Katanya, perbuatan tiga beranak itu berjaya dirakam kamera papan kemuka (dashcam) milik jiran mangsa yang membolehkan pihak polis mengesan dan mengekori suspek yang menaiki kereta jenis Volkswagen sehingga ke kawasan Kampung Binjai, Kemaman.

“Kereta Volkswagen itu kemudian ditinggalkan di kawasan kampung dan hasil intipan selama tiga jam mendapati sebuah Perodua Kelisa berhenti berdekatan kenderaan pertama itu.

“Selepas berlaku kejar mengejar menyebabkan kenderaan kelisa yang dipandu suspek terbabas dan melanggar sebatang pokok.

“Hasil daripada operasi itu, kita telah merampas dua buah kenderaan iaitu kelisa dan Volkswagen, pelbagai barang kemas, wang tunai, dua utas jam tangan, 10 beg pelbagai jenis serta dua bilah senjata tajam dengan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.

Mazli berkata, wanita terbabit yang positif dadah jenis methamphetamine turut memiliki tiga rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis bagi kes pecah rumah di Johor.

Katanya, penahanan tiga beranak itu berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Kemaman dan satu kes di Johor selepas suspek mengaku melakukan jenayah itu sejak Januari lalu.

"Kita percaya ada lagi dalang lain bersama tiga suspek ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu,” ujarnya.

Katanya, modus operandi mereka ialah memecah masuk pada waktu siang ketika pemilik rumah keluar bekerja, selain menggunakan nombor plat kenderaan palsu dan menukar nombor itu setiap kali melakukan jenayah.

"Suspek juga menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian. Suspek bawah umur akan mengumpan mangsa untuk keluar berbual-bual manakala rakan jenayahnya akan masuk ke rumah untuk menggeledah serta mencuri barangan berharga," katanya.