• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Polis Terengganu Tumpas Sindiket Dadah, Rampas Pil Yaba

KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berjaya menumpaskan sindiket dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Jerteh, Besut, Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mazli Mazlan berkata, ia susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu.

“Pihak polis telah melancarkan dua serbuan di lokasi sama iaitu di tepi jalan Kampung Kubang Depu, Jerteh.

"Pada serbuan pertama, sebanyak 1,760 gram pil yaba bernilai RM93,500 berjaya dirampas, manakala pada serbuan kedua sebanyak 5,335 gram pil sama dirampas berjumlah RM291,500.

"Sebuah kenderaan jenis Honda City turut dirampas dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR berjaya disita dari salah seorang suspek," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mazli berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 November lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Dipercayai dadah yang dirampas ini adalah untuk kegunaan sehingga 58,000 individu tempatan yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu,” ujarnya.

Menurut beliau, polis Terengganu berjaya melumpuhkan tujuh sindiket pengedaran dadah di seluruh Terengganu dan telah menangkap 18 ahli sindiket termasuk dengan tangkapan terbaru itu bermula Januari hingga November tahun ini.