Jalur Gemilang
Berita :
Potensi Pelancongan Air Putih Perlu Diberi Perhatian
Potensi Pelancongan Air Putih Perlu Diberi Perhatian
Ridhwan Balian
1 hari yang lepas
145

KUALA TERENGGANU, 17 November – Potensi pelancongan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih perlu diperkasakan bagi menjadikannya antara pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, pembangunan sektor pelancongan perlu dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira keunikan dan potensi serta prasarana pelancongan yang sewajarnya.

Menurut beliau, kawasan Air Putih mempunyai tarikan alam semula jadi yang berpotensi dikembangkan, antaranya Air Terjun Jeram Tanduk, Jeram Gajah, Jeram Kota yang terletak di Kampung Air Putih, Kemaman dan lain-lain.

"Lokasi berkenaan menawarkan potensi aktiviti rekreasi seperti perkelahan, perkhemahan, aktiviti sungai dan berbasikal lasak yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi,"ujarnya.

Perkara tersebut dibangkitkan ketika beliau menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Beliau turut menekankan kepentingan penambahbaikan kemudahan asas, akses jalan raya dan prasarana pelancongan bagi memastikan kawasan berpotensi dapat dibangunkan dengan lebih tersusun serta memberikan pengalaman yang baik kepada pengunjung.

Selain itu, penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti pelancongan perlu diperkukuh supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh penduduk, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan.

Beliau berharap potensi pelancongan DUN Air Putih dapat diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negeri agar sektor berkenaan terus berkembang dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan