• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Premis Bukan Muslim Tidak Tertakluk Arahan Tutup Setiap Jumaat

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan premis perniagaan bukan Islam tidak terbabit dalam penguatkuasaan penutupan premis selama dua jam pada hari Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif tampil memberikan penjelasan bahawa ia hanya melibatkan semua pasar raya, restoran, kedai makanan atau gerai makan Muslim termasuk restoran makanan segera.

Menurutnya, arahan bagi penutupan operasi sementara dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dilaksanakan bagi menghormati ibadah solat Jumaat selain memberi kemudahan bagi rakyat Terengganu memenuhi tuntutan ibadah berkenaan.

"Namun, ia tidak tertakluk kepada hotel kerana ia melibatkan orang yang bermusafir dan ia merupakan premis tertutup ini termasuklah kedai-kedai dimiliki bukan Muslim.

"Manakala, premis-premis makanan milik bukan Muslim yang mempunyai pekerja Muslim tertakluk kepada peraturan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat MBKT, hari ini.

Tambahnya, arahan tersebut akan berkuatkuasa bermula 12 Januari (Jumaat) ini dan pada hari Jumaat seterusnya. 

"Kita sedar sebahagian besar ekonomi bergantung kepada industri makanan, tetapi kita lebih mengejar keberkatan Allah SWT.

"Kita menerima aduan daripada orang ramai dan membuat arahan berdasarkan keperluan sekarang mengambil kira semua faktor dan kepentingan sektor-sektor yang akan turut menerima kesan daripadanya (pelaksanaan).

"Jadi, jika ada yang ingkar, kita akan kirim suratlah," katanya.

Jelas Rosli, ketidakpatuhan kepada pengenaan syarat-syarat tersebut membolehkan premis perniagaan terlibat dikompaun maksimum sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan, bergantung kepada tahap keseriusan pelanggaran kesalahan.

Hukuman berkenaan dikenakan merujuk kepada Undang-undang Kecil berkaitan yang diguna pakai MBKT iaitu Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MBKT 1991, Undang-undang Kecil (Penjaja) MBKT 1980 dan Undang- undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBKT 2013.

 

 


Tag: