• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Presiden PAS, Timbalan Menang Tanpa Bertanding

KUALA TERENGGANU, 4 November - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS  selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan perkara berkenaan pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 yang diadakan bermula 6 November ini, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, untuk jawatan Naib Presiden, pemilihan kali ini menerima empat pencalonan termasuk Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai penyandang jawatan berkenaan, di samping Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah.

"Serta menerima satu pencalonan baru yang dicalonkan oleh perwakilan daripada kawasan iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Shah Alam.

"Juga merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Presiden PAS, seterusnya dalam muktamar ini juga ditetapkan dalam perlembangan untuk memilih 18 orang AJK PAS Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang akan bertanding untuk mengisi 18 kedudukan berkenaan," ujarnya.

Menjawab kepada media, mengenai isu penarikan diri Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor daripada bertanding jawatan Naib Presiden katanya, itu menjadi amalan biasa dalam parti.

"Mungkin memikirkan tugas yang lebih berat kerana sekarang ini beliau merupakan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, dan telah ada kedudukan di situ yang selama ini telah berperanan begitu baik," katanya.

 


Tag: