• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

PRK Kemaman Bawa Hasrat Rakyat Malaysia Tolak Kezaliman

KEMAMAN, 1 Disember – Rakyat Kemaman bukan hanya mewakili Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan bahkan mewakili rakyat Malaysia yang menolak kezaliman.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassurudin Daud berkata ia berikutan ketidakadilan yang wujud dalam negara Malaysia sekarang.

Katanya, ekonomi semakin teruk dengan nilai ringgit juga semakin merundum dan apa lagi yang rakyat Malaysia nak harapkan.

"Oleh kerana itu, saya berharap pengundi-pengundi di Kemaman membuat pilihan yang tepat memilih pemimpin yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar pemerintahan.

“Al-Quran dan As-Sunnah merupakan dasar paling tinggi yang diletakkan dalam perlembagaan PAS itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana ‘Grand Finale’ PRK P.040 Parlimen Kemaman di Padang Astaka Chukai di sini malam ini.

Tambah Nassuruddin, calon PAS yang dipertandingkan itu merupakan yang terbaik dengan pencapaian yang luar biasa dalam bidang akademik dan politik.

“Rakyat Terengganu juga dilihat telah membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas dengan memberikan kemenangan yang luar biasa terhadap parti PAS.

“Kita berharap tekad yang dibuat oleh rakyat negeri ini pada pilihan raya yang lalu dapat dibuat pada PRK Parlimen pada pagi esok.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Kemaman supaya mengekalkan kemenangan PAS dalam PRK Kemaman, Insya-Allah," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: