• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRK Kemaman : Polis Terima 6 Laporan

KUALA TERENGGANU, 28 November - Polis menerima enam laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, dan sebanyak lima kertas siasatan dibuka berkaitannya sepanjang 10 hari kempen berlangsung.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan pertama diterima polis pada 26 November pada 6.33 petang berkaitan hidangan makan malam yang disediakan secara percuma.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Pilihan Raya (APR) 1954.

"Pada hari yang sama, satu lagi laporan polis dibuat pada 7.38 malam. Dalam laporan itu, pengadu mendapati pemberian makan dan cabutan bertuah ketika program yang berlangsung di buah restoran di Kemaman, kes disiasat mengikut Seksyen 8 APR 1954.

"Pada 7.24 malam hari yang sama, satu lagi laporan polis diterima polis membabitkan aduan menghidangkan makanan percuma yang juga disiasat mengikut APR 1954," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, laporan seterusnya dibuat pada 7 malam 27 November lalu membabitkan kenyataan fitnah terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (A) APR 1954.

Katanya, satu lagi laporan dibuat membabitkan kes tidak puas hati terhadap seorang ahli politik dari Kemaman yang berebut kerusi ketika bergambar.

"Kes berkenaan sudah dirujuk kepada Majistret (atas budi bicara) dan kesemua laporan polis berkenaan di buat di Balai Polis Chukai,"ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata bagi permohonan permit ceramah pula terdapat sebanyak 45 permohonan diluluskan bagi tempoh 18 hingga kelmarin.

Menurut Mazli lagi, pihaknya akan terus memantau aktiviti-aktiviti kempen calon dan parti-parti bertanding dalam PRK Kemaman itu.

"Ini termasuklah dengan tindakan pro aktif yang dijalankan dengan mensasarkan lawatan-lawatan ke markas-markas parti bertanding," ujarnya.