• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'

KUALA TERENGGANU, 22 Mei - PAS dan Perikatan Nasional akan meletakkan calon terbaik dan 'fresh' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memastikan kemenangan maksima dapat dicapai di enam negeri yang akan ditandingi.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melihat kepada 'mood rakyat' bukan sahaja Terengganu, Kedah dan Kelantan akan mengekalkan kemenangan, bahkan kejutan dijangka berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Saya yakin melihat kepada 'mood' di bawah terutama kalangan rakyat pada waktu ini menunjukkan suasana agak positif kepada PAS dan PN.

"Kerana itu saya percaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita akan mempertahankan serta mencapai kemenangan lebih baik (manakala) untuk tiga negeri lagi kita akan melakukan kejutan, insya-Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, pada 23 Mei nanti akan berlaku perbincangan senarai agihan kerusi tidak lagi ditentukan calon-calon.

"Akan dibawa kepada Majlis Presiden mungkin dalam seminggu atau dua minggu selepas pada itu barulah kita sahkan kerusi dan serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan calon yang paling sesuai untuk menang.

"Semua senarai yang akan ditentukan nanti semua nama itu kita akan hantar (untuk) mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa bagi melakukan tapisan," ujarnya.

Mengenai calon wanita yang akan diketengahkan, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa oleh Dewan Muslimat ke Muktamar Tahunan PAS agar 50 peratus merupakan calon wanita.

"Walaupun pernah dibawa ia tidak menjadi satu keputusan, yang paling penting kita tengok kesesuaian di tempat-tempat berkenaan.

"Paling penting masing-masing boleh memberikan sumbangan Dan menyumbang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujarnya.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas minggu ketiga bulan Jun bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.

 


Tag: