• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Program Khas Asasi Imtiaz Berjalan Lancar

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Program Khas Asasi Imtiaz untuk pelajar tingkatan satu bagi Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 di seluruh negeri ini berjalan lancar.

Timbalan Pengarah (Operasi), Yayasan Terengganu, Mazlan Che Wil berkata, walaupun program tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka disebabkan pandemik COVID-19, pelajar, guru dan ibu bapa menunjukkan komitmen yang begitu baik selama enam bulan program diadakan bermula Januari hingga 30 Jun lalu.

“Program khas asasi Imtiaz mengandungi enam modul antaranya, personaliti, bahasa, bahasa Arab dan Inggeris, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta al-Quran.

“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, disebabkan negara berdepan dengan wabak COVID-19, para pelajar perlu menyelesaikan semua tugasan di rumah berdasarkan modul yang diberi menerusi pemantauan oleh guru serta ibu-bapa masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 secara sidang video yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini.

Mazlan berkata, program yang diperkenalkan sejak 2006 ini lebih kepada membentuk akhlak dan sebagai persediaan kepada pelajar yang baru mengikuti pengajian di Imtiaz .

Katanya, walaupun tidak hadir ke sekolah dalam tempoh berkenaan, pelajar mampu mencapai keputusan yang memberangsangkan.

“Tahniah kepada anak-anak pelajar, guru-guru, ibu bapa dan semua yang terlibat kerana terbukti COVID-19 tidak menjadi penghalang untuk belajar, ini terbukti apabila 50 peratus pelajar yang mengikuti program khas asasi ini berjaya menghafal lima juzuk al-Quran dan ada yang sampai 14 juzuk walaupun hanya dipantau secara online oleh guru,” ujarnya.