• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program 'Outreach' Pekerjaan Bantu Rakyat Dapat Kerja

BESUT, 11 Oktober – Usaha kerajaan negeri dalam membuka peluang pekerjaan kepada rakyat diteruskan dalam siri pertama Program 'Outreach' dengan menyasarkan kekosongan 800 jawatan di syarikat Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) dipenuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 'outreach; itu sudah bermula hari ini di Besut dan akan berakhir esok.

Katanya, buat julung kalinya ia diadakan secara bersemuka di peringkat negeri dan pihaknya menyasarkan 200 orang pemburu kerja hadir di daerah tersebut.

“Sehingga kini seramai 33 orang telah ditemubual dan daripadanya 25 orang telah diterima kerja dengan dua orang lagi telah bermula kerja di Kilang bertempat di Shah Alam, Selangor bersama syarikat gergasi teknologi Jepun tersebut.

“Sesiapa yang berjaya memenuhi kekosongan itu juga bakal menikmati elaun mobiliti sehingga RM1,000, penginapan dan pengangkutan percuma dan lain-lain lagi manfaat.

“Sambutan melalui media sosial juga amat memberangsangkan dengan kebanyakkan pencari kerja tidak mengetahui insentif ‘one-off’ yang dijalankan kerajaan bagi memudahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program 'Outreach' Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Edisi Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, pagi tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusma dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar.

Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menjelaskan antara objektif lain penganjuran tersebut bagi memberi maklumat tentang insentif PEMULIH yang disediakan oleh kerajaan kepada para pencari kerja.

“Di samping menggalakkan mereka mencari pekerjaan secara aktif, ia turut memberi rakyat peluang untuk mendaftar dan melibatkan diri dalam program pekerjaan yang melayakkan mereka mendapat manfaat daripada insentif ini,” jelasnya lagi.

Menurutnya juga, maklumat peserta menerusi Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di setiap DUN akan digembleng bagi program penempatan pekerjaan diteruskan lagi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan daerah lain.

“Kita bergantung kepada permintaan majikan (PAPAMY), jika kita berjaya merancang di tiga daerah lain, maka kita akan lihat kekosongan lain lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu, T-HRDC telah menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama dengan PAPAMY pada 23 September dengan persetujuan bagi menghebah peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu.