lightning-solid
Berita :
Program Permata Maulidur Rasul Raikan Bayi Baharu Lahir
Program Permata Maulidur Rasul Raikan Bayi Baharu Lahir
Mohamad Farhan Anam
1 hari yang lepas
28

HULU TERENGGANU, 28 Ogos -Program Permata Maulidur Rasul anjuran Kerajaan Negeri Terengganu turut memberi tumpuan kepada bayi yang baru dilahirkan menerusi kunjungan ke Hospital Hulu Terengganu sempena sambutan Maulidur Rasul.

Program itu bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah turut meraikan kehadiran cahaya mata baharu yang menjadi penyeri dan sumber kebahagiaan kepada keluarga masing-masing.

Menurut Zuraida, kelahiran bayi pada tarikh yang sama dengan kelahiran Rasulullah SAW merupakan sesuatu yang cukup istimewa dan pastinya menjadi kenangan bermakna buat keluarga.

“Seronok kalau dapat lahir pada tarikh yang sama dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia satu kebetulan yang cukup istimewa dan pastinya menjadi kenangan yang akan sentiasa diingati oleh keluarga,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Haji Rosol Wahid dan ADUN Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh.

Beliau berkata, Program Permata Maulidur Rasul turut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meraikan masyarakat daripada pelbagai lapisan, termasuk keluarga yang baru menerima cahaya mata.

“Dalam kita menyambut dan menghayati sirah serta perjuangan Rasulullah SAW, kita juga meraikan kehadiran insan-insan kecil ini yang bakal mewarnai kehidupan keluarga masing-masing.

“Semoga anak-anak ini membesar dengan sihat dalam limpahan kasih sayang, menjadi anak yang soleh dan solehah serta membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada keluarga,” katanya.

Kunjungan ke Hospital Hulu Terengganu itu turut diserikan dengan penyampaian tanda ingatan kepada bayi dan keluarga terlibat sebagai simbolik sambutan Maulidur Rasul.


Artikel Berkaitan