• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek Bekalan Air KTU RM1.3 Bilion Disiapkan Secara Berperingkat

KEMAMAN, 29 September - Projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU) dengan nilai RM1.3 bilion  akan disiapkan secara berperingkat bagi memastikan rakyat di negeri ini menerima bekalan air yang terawat, berkualiti serta tidak menghadapi gangguan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), TS. Abdul Karim Endut berkata, sebahagian projek itu telah siap manakala ada lagi berada di fasa akhir pembinaan.

"Antaranya ialah Loji Rawatan Air (LRA) Pakej 20 Juta Liter Sehari (JLH) di Pulau Bahagia telah mula dimanfaatkan semenjak Mac 2021, LRA Pakej 44 JLH di Losong telah mula dimanfaatkan secara berperingkat bermula akhir April 2022.

"(Manakala) LRA Bukit Berapit berkapasiti 120 JLH sedang diperingkat akhir pengujian untuk beroperasi sepenuhnya penghujung tahun 2022 ini," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian LRA Bukit Sah, Air Puteh, di sini hari ini.

Perasmian berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pegawai Kewangan Terengganu, Dato' Rozali Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh dan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu INC, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Abdul Karim berkata, SATU sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri menzahirkan komitmen sepenuhnya untuk menyediakan bekalan air terawat secara konsisten dan terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

"Usaha menaiktaraf keupayaan pembekalan air ini adalah sebagai langkah proaktif menghadapi cabaran perkhidmatan bekalan air semasa dan di masa akan datang, antara cabaran utama dihadapai ialah sistem aset bekalan air yang melepasi keupayaan reka bentuk, kos rawatan air yang terus meningkat, ancaman perubahan iklim dunia yang menjadikan (penyediaan) bekalan air terawat lebih mencabar.

"Kehendak pengguna semakin meningkat dari tahun ke tahun, justeru SATU telah mula mengorak langka dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan, serta penyediaan menghadapi cabaran akan datang.

"Seperti membangunkan sistem pengurusan aset yang lebih baik, penggunaan teknologi terkini dan transformasi digital sebagai contoh penggunaan aplikasi MySATU yang menyediakan perkhidmatan di hujung jari untuk pengguna serta perancangan modal insan yang bersepadu untuk meningkatkan kompetensi kakitangan syarikat," ujarnya lagi.