• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Projek ECRL Capai Kemajuan 23.96 Peratus

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setakat 31 Ogos lalu mencapai kemajuan sebanyak 23.96 peratus berbanding yang dijadualkan sebanyak 25 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, kelewatan sebanyak 1.04 peratus adalah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi Seksyen A, iaitu dari Kota Bharu ke Dungun, skim kereta api telah diluluskan pada 14 Mei tahun lalu merangkumi pembinaan enam buah stesen, iaitu di Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

“Kelulusan ini bertepatan dengan program kerja penyediaan tapak yang telah dilaksanakan mulai pertengahan tahun lalu. Setakat 31 Ogos lalu, kemajuan kerja fizikal mencapai 11.59 peratus, berbanding sasaran sebanyak 12.01 peratus,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) di Dewan Rakyat, semalam.

Ka Siong berkata, kerja fizikal juga sedang giat dilaksanakan di Seksyen B, iaitu jajaran dari Dungun ke Temerloh dan sejak disambung semula pada Julai 2019, kemajuan kerja fizikal di seksyen ini mencapai 28.04 peratus berbanding sasaran sebanyak 26.90 peratus.

Katanya, ini merangkumi kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan, manakala kerja awalan pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir, juga giat dijalankan.

Beliau berkata, bagi Seksyen C, iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi yang maksimum kepada rakyat seperti yang diumumkan pada 5 April lalu.

“Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan. Kelebihan logistik ini akan dicapai tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan penumpang, sekali gus menjadikan ECRL sebagai pemangkin ekonomi,” katanya.

Dalam hal ini, katanya cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan oleh Kabinet pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip oleh Kabinet pada 21 Ogos 2020 dan 2 September 2020.

“Susulan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan mengadakan lebih 37 sesi libat urus melibatkan 17 jabatan dan agensi kerajaan Selangor serta 12 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.

“Ini bertujuan memperkemaskan cadangan penyelesaian teknikal untuk mengatasi isu sosial dan alam sekitar seperti Permatang Kuarza dan Empangan Batu seperti yang diwar-warkan. Apabila jajaran ECRL dikembalikan ke jajaran asal, semua perkara ini telah diambil kira,” katanya.

Beliau berkata, jajaran utara ECRL telah sekali lagi diangkat untuk pertimbangan Kabinet pada 31 Mac lalu dan diluluskan pada hari yang sama.

Pada masa ini, katanya Kementerian Pengangkutan menjangkakan tarikh penyiapan bagi Seksyen A, B masih kekal seperti yang dijadualkan, iaitu pada 31 Disember 2026, namun pembinaan Seksyen C dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan, iaitu pada 31 Disember 2027.

--HARAKAHDAILY


Tag: