• 23 Jun 2024 | 16 Zulhijah 1445

Projek Hakisan Pantai RM73.5 Juta Beri Perlindungan Jangka Panjang

KUALA NERUS, 30 Januari – Projek Pengawalan Hakisan Pantai yang bernilai RM73.5 Juta di Pantai Tok Jembal di sini memberi perlindungan jangka panjang.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia juga memberi manfaat kepada penduduk dan para nelayan di kawasan ini.

“Projek di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu telah dimulakan sejak 2010, siap sepenuhnya pada 24 Julai 2019.

“Projek itu dilaksanakan susulan keadaan pantai yang mengalami hakisan terutama ketika musim Monsun Timur Laut dan terdedah kepada ombak kuat dengan ketinggian maksimum sehingga tiga (3) meter sekitar November hingga Mac.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan kerja YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Tapak Projek Perlindungan Hakisan bertempat di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Tambah Nik Nazmi, hakisan semakin kritikal selepas tahun 2010 berikutan terdapat pembangunan dan penebusgunaan tanah pesisir pantai dengan kehilangan kawasan pantai selebar 60m setiap tahun.

Justeru, kementerian mengambil langkah segera bagi mengawal dan melindungi pengunduran garis pantai daripada terus terhakis.

“Usaha ini juga merupakan salah satu projek jangka panjang yang memberi manfaat kepada kawasan sekitar yang terjejas teruk iaitu Kampung Tok Jembal, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Kubang Badak,” ujarnya.

 


Tag: