• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Projek Jagung Bijian Kampung Dadong Diteruskan

Alias
Kerajaan negeri akan meneruskan Projek Perintis Penanaman Jagung Bijian yang diilhamkan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek di Kampung Dadong, Ayer Puteh, Kemaman.

Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid berkata, projek tersebut akan diteruskan kerana ianya menjadi sumber pendapatan kedua kepada penduduk kampung yang kebanyakannya mengusahakan tanaman padi di kawasan tersebut.

Katanya, Kampung Dadong merupakan lokasi yang menjadi perintis kepada projek tersebut dan ianya mempunyai potensi yang besar untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai lembah jagung bijian satu hari nanti.

"Kita akan meneliti semula lokasi yang dijadikan tapak untuk projek tersebut kerana kawasan itu merupakan lokasi yang sering ditenggelami air setiap kali tibanya musim tengkujuh.
                                                              
"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pertanian berkenaan perkara ini dan saya dimaklumkan bahawa ada peruntukan untuk meneruskan projek ini namun kita menghadapi masalah kesesuaian tanah berikutan kawasan tersebut sering berlaku banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Petronas di Kelab Golf dan Rekreasi Rantau Petronas, Kemaman, hari ini.

Alias berkata, menjadi satu kerugian sekiranya projek itu diteruskan di kawasan yang sering ditenggelami air dan pihaknya perlu memikirkan untuk membangunkannya di kawasan yang sesuai sebagai kelangsungan projek tersebut.

"Seperti sedia maklum, negara kita masih lagi mengimport jagung bijian dari negara luar dan ianya melibatkan kos yang tinggi untuk membawa masuk bijian tersebut untuk menampung keperluan bagi industri penternakan di negara ini" katanya.


Sementara itu Alias turut mengulas berkenaan sama ada untuk meneruskan satu lagi projek di Kampung Pasir Gajah iaitu Projek Lembah Pedaging yang turut diilhamkan oleh bekas menteri berkenaan.

Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai maklumat yang lengkap berkenaan projek tersebut dan perlu memperolehi perincian daripada Jabatan Veterinar sebelum mengambil tindakan dan membuat sebarang keputusan berhubung projek tersebut.

Tag: