• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil

SETIU, 12 Julai - Projek penanaman keledek vitato di Kampung Banggol di sini mampu mengeluarkan hasil sebanyak lima tan setiap ekar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman secara berkelompok yang berkeluasan 70 ekar itu  melibatkan seramai 70 orang peserta.

"Projek berkenaan hasil usahasama kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan penduduk setempat," kata ringkas pada Majlis Penuaian Ubi Vitato di Kampung Banggol semalam.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan kerajaan Terengganu bersetuju menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan negeri itu.

Jelasnya, pemilihan daerah Setiu disebabkan beberapa faktor antaranya keluasan tanah sekitar 5,200 ekar yang diwartakan di bawah seksyen 62 yang dikhususkan bagi aktiviti pertanian samada penternakan dan tanaman.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Jun yang lalu bersetuju mengisytihar dan menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan Negeri Terengganu.

"Untuk itu, MMKN bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua-ketua jabatan berkaitan," tambah beliau.