Jalur Gemilang
Berita :
Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus Kini Capai 60.9 Peratus
Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus Kini Capai 60.9 Peratus
Ezani Razali
1 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Kerajaan Negeri mengambil maklum dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 berhubung isu kelewatan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus dan tindakan penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi memperkemas pelaksanaan kerja di tapak serta meningkatkan kapasiti pelaksanaan, khususnya melibatkan kerja-kerja perlindungan pesisir pantai.

Menurut beliau, sehingga 17 September 2026, kemajuan fizikal projek telah mencapai 60.9 peratus, berbanding 60.7 peratus kemajuan yang dijadualkan.

“Perkembangan ini menunjukkan kerja-kerja di tapak sedang dilaksanakan dan tindakan susulan terus diperkasakan bagi memastikan keseluruhan projek dapat disiapkan dengan sebaiknya.

“Isu kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi kerja-kerja penambahan pasir pantai atau beach nourishment yang sebelum ini menjadi antara punca kelewatan juga telah diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak kontraktor kini telah meningkatkan kapasiti pelaksanaan kerja beach nourishment bagi mempercepatkan usaha perlindungan kawasan pesisir pantai yang terlibat.

Dalam masa sama, selaras dengan syor Audit, penyelarasan antara JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan turut diperkukuhkan, khususnya bagi memastikan pembinaan Breakwater No. 7 dan No. 8 dapat disiapkan dengan segera.

Menurut Hanafiah, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko hakisan pantai serta melindungi infrastruktur awam yang terdedah di kawasan terbabit.

“Kerajaan Negeri memandang serius setiap teguran dan syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Setiap perkara yang dibangkitkan perlu diambil tindakan sewajarnya dan dijadikan ruang untuk kita memperkukuh lagi pengurusan serta pelaksanaan projek.

“Keutamaan kita ialah memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana ia melibatkan keselamatan kawasan pesisir, perlindungan infrastruktur awam dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersama JPS akan terus memantau perkembangan projek dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan sehingga projek berkenaan disiapkan sepenuhnya demi manfaat rakyat dan kepentingan awam.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan