Projek RM47 Juta Terbengkalai Akan Dipulihkan

SETIU, 5 Jun - Kerajaan Terengganu terus komited memulihkan projek terbengkalai terutama projek yang telah menelan kos  besar walaupun agak sukar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, memulihkan projek gagal yang ditinggalkan lebih rumit dari memulakan projek dari awal.

"Namun, sama ada rumit atau tidak, Projek Pengairan Kampung Jelapang Langkap yang dimulakan pada 2007 perlu dipulihkan.

"Projek bernilai RM47 juta seluas kira-kira 400 ha sampai sekarang ini gagal ditanam padi disebabkan isu pengairan, tanah jerlus dan sisa kayu dalam petak sawah dan beberapa isu lagi," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Ke Tapak Projek Penanaman Padi Skim Pengairan Padi di Kampung Jelapang, Langkap semalam.

Menurut Dr. Azman, anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) bersama sebuah syarikat pelabur tempatan Qudsi Global sedang berkolaborasi untuk memulihkan projek itu walaupun ia sukar.

"Petang ini untuk kali seterusnya lawatan lokasi bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Setiu, TADC dan Syarikat Qudsi Global untuk kita selesaikan secara berperingkat satu persatu isu dan permasalahan yang berbangkit seterusnya membangunkan tanaman padi di sini secara berfasa," jelasnya. 


Tag: