• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Projek Sungai Tiruan RM300 Juta Bermula Awal Tahun Hadapan

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Projek pembuatan sungai tiruan bernilai RM300 juta bagi meminimakan kesan banjir di daerah Kemaman dan beberapa kampung di Chukai akan dimulakan awal Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembinaan sungai itu adalah sepanjang sembilan kilometer dari Paman ke Tasik Bungkus, Ibok.

Katanya, projek itu mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan.

"Lebar sungai tiruan itu ialah 250 meter dan ketinggiannya ialah dua meter. Jabatan Alam Sekitar telah pun memberi kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) projek ini.

"Apabila siap kelak, masalah banjir di sekitar pekan Chukai akan dapat diminimakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghantaran Barangan Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang,di Jeti LKIM, Chendering, hari ini.

Hanafiah berkata, projek pembinaan sungai tiruan tersebut dapat meminimumkan pertembungan  Sungai Air Putih dan Sungai Cerul yang terletak di Hulu Kemaman yang mana keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Katanya, jika pertembungan ini berlaku ia menyebabkan banjir kawasan di sekitar Chukai seperti Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung.

"Keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, projek berkenaan memakan masa untuk dimulakan kerana ia melibatkan pengambilan tanah milik penduduk.