HULU TERENGGANU, 2 Jun – Usaha menternak ayam kampung organik di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) membuktikan potensi ekonomi luar bandar apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM3,600 bagi setiap pusingan ternakan dalam tempoh hanya 36 hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paloh Nyor, Mohd Sharif Jusoh, 65, berkata komuniti kampung itu menerima geran sebanyak RM100,000 di bawah inisiatif tersebut.
Menurutnya, projek yang bermula sejak November tahun lalu kini memasuki pusingan kelima, dengan setiap pusingan melibatkan penternakan sekitar 1,500 ekor ayam.
“Tiga blok reban dibina, masing-masing menempatkan 500 ekor ayam. Ternakan dilakukan secara berperingkat dan ayam dijual pada harga RM10 sekilogram.
“Daripada 500 ekor ayam, pulangan sekitar RM1,200 dapat diperoleh, manakala satu pusingan penuh dengan 1,500 ekor ayam boleh menjana sekitar RM3,600,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil jualan digunakan untuk pengurusan operasi ternakan dan sebahagian lagi disalurkan kepada pengurusan kampung bagi pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada penduduk.
Mohd Sharif berkata, projek itu memberi impak besar kepada ekonomi setempat kerana hasilnya turut memperkukuh kewangan kampung serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa bekalan makanan ternakan dan anak ayam dibekalkan oleh syarikat yang sama, sekali gus memastikan ayam yang mencapai saiz piawaian akan dibeli semula tanpa berlaku lambakan.
“Selain itu, projek ini turut dipantau oleh Jabatan Veterinar yang membuat lawatan berkala bagi memastikan tahap kesihatan ternakan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya lagi.
Menurutnya, ayam kampung organik berpotensi memberikan pulangan lumayan memandangkan tempoh pembesarannya yang singkat dan kaedah penjagaannya yang tidak terlalu rumit.
“Alhamdulillah, pelaksanaan projek SejaTi MADANI ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi, malah memberi pendedahan kepada penduduk untuk mengusahakan ternakan sendiri pada masa akan datang,” ujar beliau.
Katanya lagi, beliau berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan dan bantuan agar lebih banyak peluang dapat diwujudkan, khususnya untuk komuniti luar bandar dan pedalaman.