• 28 Feb 2024 | 18 Syaban 1445

Proses Pembaikan Paip Air Pecah di Sungai Besut Capai 30 Peratus

BESUT, 14 Januari - Status kerja-kerja pemasangan dan pembaikian paip bersaiz 600 milimiter (MM) di dasar sungai Besut kini memasuki 30 peratus dan dijangka siap antara tempoh tujuh hari hingga 10 hari.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan memberikan kelegaan kepada 2,670 akaun pengguna yang terjejas.

"Setakat ini semuanya mengikut perancangan, telah mencapai kemajuan 30 peratus dan prosesnya cepat walaupun pada  peringkat permulaan sahaja  yang mengambil masa, tetapi bila dah bergerak itu, insya-Allah akan cepat disiapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika melawat ke lokasi paip pecah, di Jambatan Kampung Lampu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan penduduk yang terjejas dengan bekalan air tersebut tidak perlu khuatir dan bimbang tidak akan mengulangi sebagaimana di Kuala Terengganu sebelum ini.

"Kita cuba yang terbaik, cuma situasi yang berlaku di Kuala Terengganu dahulu,  ia agak kompleks sikit, tetapi di sini kita buat dengan cara agak berbeza sedikit dan ia lebih cepat, insya-Allah," ujarnya.

Terdahulu, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 MM di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu telah menyebabkan berlaku gangguan air bermula 1  sehingga 21 Januari.


Tag: