• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

PRU : ‘Jangan Susahkan Rakyat Demi Agenda Peribadi’

KUALA LUMPUR, 21 September - Pemimpin politik diingatkan agar tidak menyusahkan rakyat dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada waktu banjir semata-mata kerana mahu menyelesaikan masalah peribadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, tidak wajar untuk mengheret rakyat yang kini sudah dibelenggu pelbagai beban seperti masalah ekonomi.

“Cukuplah kita menyusahkan rakyat terutama mengheret mereka dengan adakan pilihan raya pada waktu banjir.

“Biarlah kita selesaikan urusan rakyat dan biar kita selesaikan urusan pendekatan ekonomi dahulu sebelum kita adakan pilihan raya.

“Sama ada mereka ini nak dengar atau tidak itu terpulanglah kepada mereka, tetapi pada saya kita berpolitik, berpolitik juga tapi janganlah pula mengheret rakyat untuk menyelesaikan masalah peribadi kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Terengganu dengan syarikat pelaburan induk strategik kerajaan Terengganu di sini, hari ini.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri pernah berkata sebelum ini, Terengganu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pembubaran parlimen dilaksanakan pada tahun ini.

“Ini kerana, kita lihat pada waktu sekarang ini tiada keperluan, dalam keadaan kita baru keluar daripada pandemik pada Januari lalu dan aktiviti ekonomi sedang rancak berjalan di mana rakyat pun mula keluar untuk menjalankan urusan masing-masing sama ada berniaga atau apa-apa juga usaha. 

“Jadi tentulah, keputusan mengadakan pilihan raya dan membentuk suatu keadaan poilitik baharu yang belum tentu ini adalah (langkah) tidak cermat perkiraannya.

“Kita ingin melihat, oleh kerana tempoh penggal masih ada dan rakyat sedang bergerak ke hadapan, biarlah rakyat bergerak ke hadapan dengan pantas serta persoalan pilihan raya itu di kemudiankan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS itu menyokong kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa musuh parti Islam itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya UMNO.

“Memang kita secara konsisten dalam Muktamar PAS pun telah disebut bahawa PH adalah lawan kita dalam pilihan raya.

“Tidak ada kerjasama dengan PH, kalau ada pihak yang timbulkan untuk adakan kerjasama dengan itu kita lebih awal bagitahu bahawa tiada sebarang kerjasama dengan PH,” katanya.


Tag: