• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PRU14 : 200 Keluar Pas Sertai UMNO


Mohamad Syakir berucap mewakili rakan lain yang mengisytiharkan diri menyertai UMNO, malam tadi.
Seramai 200 ahli Pas Besut membuat kejutan menjelang hari pembuangan undi pada Rabu ini apabila mereka bertindak keluar parti dan menyertai UMNO malam tadi.

Pengisytiharan itu diketuai seorang pemuda, Mohamad Syakir Mustaffa, 25, pada Program Kembali Semula Ke UMNO yang diadakan di di Dataran Pasar Akar, Hulu Besut.

Mohamad Syakir, dari Kampung Gong Terap, Alur Lintah, mewakili rakan lain turut berucap bagi memperkenalkan diri sebagai anak muda yang sedia bersama Barisan Nasional (BN) dan keluar mengundi parti itu Rabu ini.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga calon BN Parlimen Besut, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof (calon BN Jertih) dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad (calon BN Hulu Besut).

Muhamad Syakir berkata, sebagai anak muda dia dapat melihat perjuangan UMNO yang jelas dan lebih tersusun kerana sentiasa memberi perkhidmatan terbaik serta membela kebajikan rakyat.

Mohamad Syakir

Katanya, ketika berada di dalam Pas anak muda tidak diberi perhatian kerana kepemimpinan parti tidak mempunyai perancangan rapi untuk golongan belia.

Nawi ketika ditemui memuji tindakan berani ahli Pas terbabit yang sanggup meninggalkan perjuangan parti itu menjelang hari terakhir kempen sebelum pembuangan undi sehari lagi.

Katanya, tindakan ahli Pas yang menyertai UMNO adalah hasil gerak kerja jentera UMNO yang mendekati pengundi atas pagar dan penyokong Pas dengan cara kempen yang berhemah dari rumah ke rumah.

“InsyaAllah menjelang hari pembuangan undi kita akan mendapatkan 400 penyokong Pas untuk bersama-sama UMNO  serta mengundi BN,” katanya.



Tag: