• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14: 300 Rumah Mampu Milik Setiap DUN

Ahmad Razif berucap di majlis pertemuan dengan penduduk DUN Alur Limbat. Di belakang beliau Mohamad Nor (kanan) dan Saiful Bahri. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim


Kerajaan negeri akan membina 300 unit Rumah Mampu Milik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan berita baik itu ketika turun padang menemui penduduk di Kampung Banggol Katong, DUN Alur Limbat, Parlimen Marang, malam ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meluluskan peruntukan untuk membina 10,000 unit rumah tersebut di seluruh Terengganu.

"Oleh kerana itu, saya akan mengagihkan peruntukan ini kepada 32 DUN di seluruh negeri jika kita memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada  9 Mei ini.

"Saya berharap para pengundi tidak mengambil ringan kewajipan membuang undi untuk Kerajaan BN merealisasikan perancangan itu nanti keranapada 9 Mei bakal menjadi penentu kepada pembangunan negeri bagi lima tahun akan datang," katanya.

Ahmad Razif berkata, Terengganu banyak ketinggalan pada tahun 1999 sepanjang pemerintahan Pas dan zaman kegelapan itu sepatutnya menjadi memori buruk yang tidak sepatutnya berulang dalam lipatan kehidupan rakyat negeri ini.

"Kita jangan memilih untuk merugikan negeri ini sekali lagi, pilihlah kerajaan yang mampu berkhidmat," tegasnya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 50 buah rumah di bawah Projek MyBN sedang dilaksanakan dan bakal dijual dengan harga serendah RM20,000 untuk membantu rakyat.

Mantan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Rahman Bakar turut hadir memberikan sokongan.




Tag: