• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PRU14 : Ambil Semangat Gelombang Biru


Oleh : Ezzuan Ahmad

Rakyat diminta membuat pemilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk mengekalkan kemakmuran serta pembangunan yang dikecapi sekarang.

Calon BN Parlimen Dungun, Dato'  Din Adam berkata, rakyat perlu mengambil ikhtibar 'gerhana politik' yang melanda Negeri Terengganu pada 1999  apabila tiada pembangunan yang dilakukan oleh Pas sepanjang memegang tampuk pemerintahan negeri.

"Masih kita ingat bagaimana sengsaranya rakyat pada zaman itu di mana tidak dapat merasai pembangunan yang diharapkan dan kita tidak mahu ianya berulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya pada program perasmian Kolej Komuniti Cawangan Dungun, yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi , Dato Seri Idris Jusoh di Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah, Dungun, hari ini.

Din berkata, rakyat perlu bijak memilih parti yang mampu memberikan jaminan untuk masa depan dan bukan parti yang tidak dapat menjanjikan apa-apa kepada pengundi yang sudah memberi mandat.

"Barisan Nasional adalah parti yang terbukti sudah membawa banyak pembangunan di negara ini dan rakyat perlu kekalkan momentum yang sedia ada ini.

"Pembangkang hanya pandai berjanji sahaja namun banyak janji- janji yang tidak dapat ditunaikan, adakah rakyat mahu pemimpin yang hanya pandai tabur janji sahaja? " katanya.

Tambah beliau, gerakan Gelombang Biru yang diasaskan oleh Dato' Seri Idris Jusoh  juga menyaksikan semangat rakyat untuk memilih BN bagi membawa perubahan di Negeri Terengganu.

"Semangat itu perlu dikekalkan untuk pilihan raya yang akan datang untuk melestarikan pembangunan yang dirancang oleh BN demi kesejahteraan semua," katanya.

Beliau juga berharap supaya rakyat dapat memilih calon yang tepat sebagai wakil untuk membawa suara rakyat untuk kesejahteraan semua.

Menurutnya lagi, rakyat tidak boleh membiarkan sejarah lama berulang lagi kerana sudah terbukti pembangkang hanya cakap kosong.


Tag: