• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PRU14 : Beri Mandat BN Terus Terajui Terengganu


Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama calon-calon BN Hulu Terengganu pada Program Mesra Rakyat Daerah Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.


Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyeru rakyat Terengganu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui negeri ini.

Katanya, menerusi kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang memperkenalkan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) pelbagai bentuk pembaharuan dan pembangunan sedang dirancang dan juga telah dilaksanakan.

Katanya, seluruh pengundi di negeri ini patut memilih kerajaan yang memberi manfaat kepada mereka kerana banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan sekiranya rakyat tetap utuh menyokong kerajaan negeri sedia ada. 


“Bagi peluang Menteri Besar yang baru pegang jawatan lakukan pembaharuan pada negeri kerana beliau hendak laksanakan pembaharuan terhadap Terengganu. Jangan kita sekejap tukar sana dan sini. 

 “Tukar kereta boleh, tapi jangan tukar kerajaan kerana sesuatu perubahan itu mengambil tempoh yang sangat lama. Jika sekejap nak tukar, sekejap nak tukar, habis rosak kita,” katanya ketika berucap pada Program Mesra Rakyat Daerah Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato ' Mohd Zubir Embong serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A.Rahman Yahya.

Hadir sama, calon BN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Calon BN DUN Manir, Yusof Awang Hitam, dan Calon BN DUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat.


Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi BN mengharapkan semua kepimpinan BN negeri ini bersatu.

“Mari kita rapatkan barisan. Saya tak nak dengar ada masalah dalaman, saya tak nak ada cah keting, saya tak nak ada peteh keting, saya minta kita semua pertahankan barisan, kalau ada apa perubahan pun kita terima.

“Sebab itu saya hendak ucap terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari kerana walaupun  tidak menjadi calon dia tidak kacau kerana dia ‘gentlemen’,” ujarnya.

Tag: