• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

PRU14: BN Tarik Balik Penggantungan Raja Ahmad Soufi



Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersetuju untuk menarik balik penggantungan keahlian Ketua Cawangan UMNO Kampung Langgar, Raja Ahmad Soufi Sulaiman.

Jelasnya, penarikan balik penggantungan ini bagi memastikan  sokongan daripada UMNO tetap utuh bagi kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau mengumumkan perkara tersebut di Program Mesra Rakyat Bersama YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang, hari ini.

Terlebih dahulu, Pengerusi Badan Peehubungan UMNO Negeri, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman memaklumkan pihaknya telah membuat surat rayuan baru-baru ini kepada Lembaga Disiplin supaya Raja Soupi dikembalikan status ahli UMNO setelah digantung keahliannya selama enam tahun.

"Kita dah buat surat rayuan tersebut dan berharap kepada badan disiplin menerimanya kerana dia dah bekerja kuat untuk BN..jadi berilah peluang kepadanya," katanya lagi.



Raja Ahmad Soufi digantung keahliannya sebagai ahli UMNO mengikut perlembagan apabila melanggar peraturan 3.1.6 yang menggunakan media massa bagi menolak Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari sebagai calon PRU14 bermula pada 30hb Januari 2018.

Raja Ahmad Soufi yang ditemui berkata penarikan balik penggantungan keahlian UMNO merupakan satu berita gembira lebih-lebih lagi disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.

"Saya ucapkan terima kasih kepada PM kerana menerima balik saya sebagai ahli UMNO. Sebelum ini pun saya tetap menjalankan tugas saya sebagai penyokong parti walaupun bukan ahli lagi sebab saya berjiwa UMNO.

"Saya akui mungkin cara saya mengkritik Ahli Parlimen Hulu Terengganu agak keras kerana menggunakan laman sosial sebagai tempat melontarkan serangan tetapi saya tiada pilihan apabila masih tidak ada perubahan setelah berjumpa antara satu sama lain.

"Dan pada hari ini apabila diberi peluang sekali dengan penarikan balik pengantungan keahlian UMNO, saya akan pastikan ianya tidak sia-sia dengan memberi kemenangan kepada BN pada PRU14 nanti," katanya.


Tag: