• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRU14 : BN Yakin Rampas Semula Tujuh Kerusi


 Oleh : Ezzuan Ahmad

Barisan Nasional (BN) Terengganu optimis akan dapat merampas kembali tujuh kerusi yang mengalami kekalahan tipis pada Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU13) lalu.

Pengerusi Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, keyakinan tersebut disuarakan selepas melihat momentum sokongan rakyat terhadap parti tersebut di semua kawasan terbabit sudah mula menunjukkan peningkatan yang sangat baik.


"Saya dapat melihat momentum ini meningkat sepanjang tempoh berkempen dan saya yakin ianya akan bertambah lagi.

"Memang sebelum ini ada berlaku isu di kalangan ahli parti selepas pengumuman calon dan kebangkitan tersebut dapat dilihat selepas semua isu sudah selesai" katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Sura, malam tadi.

Menteri Besar berkata, selain tujuh kerusi utama tersebut, beberapa kerusi lain yang menjadi kubu kuat pembangkang seperti DUN Sura juga akan dirampas dari pembangkang.

"Peningkatan sokongan ini adalah disebabkan oleh kekuatan jentera parti yang bertungkus lumus dan penghijrahan ahli UMNO yang dianggap musuh dalam selimut yang menyertai Parti Pribumi,

"Kita sudah nampak pada hari ini di mana ahli yang menjadi gunting dalam lipatan, yang mensabotaj parti sudah menyertai pembangkang, ini adalah kelebihan pada kami (BN) meskipun bertanding tiga penjuru" katanya.


Ahmad Razif menjelaskan, dengan peningkatan sokongan sedemikian, sejarah 2004 apabila BN memenangi 24 kerusi dijangka dapat berulang kembali.

Pada PRU13 lalu, tujuh kerusi yang mengalami kekalahan tipis ialah DUN Rantau Abang (majoriti tewas 141 undi),  Tepoh (229), Manir (588), Bukit Payung (613) , Bukit Tunggal (652) dan Ladang pula  924 undi.



Tag: