• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PRU14 : 'Dato' Jai' Turut Sertai 12,000 Penyokong BN


Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari muncul memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P038 Hulu Terengganu, di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Kehadiran Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang sebelum ini penyandang  Parlimen Hulu Terengganu  itu mengejutkan ramai pihak yang turut teruja untuk bersama-sama menyokong calon BN.

Sebelum ini juga, pelbagai spekulasi tersebar mengenai beliau sejak hari pengumuman calon pada 22 April lalu oleh Pengerusi BN Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil pada 1999 sehingga 2013, Dato' Rosol Wahid dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Hulu Terengganu menggantikan beliau.


Rata-rata orang ramai menyifatnya sebagai pemimpin yang berjiwa besar yang akan terus membantu BN walaupun tidak dicalonkan pada PRU14 dengan hadir pada kali ini.

Perarakan calon-calon bermula jam 7.30 pagi dengan berkumpul di Dataran Majlis Daerah Hulu Terengganu dan mula bergerak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah pada jam 8.30 pagi dengan diiringi hampir 12,000 penyokong BN.

Tag: