• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRU14 : Dato' Mat Beratur Dua Jam Bersama Pengundi



Calon Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman untuk membuang undi kira-kira jam 10.27 pagi tadi.

Mohamed kemudiannya sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi lain dan berbaris kira-kira selama lebih dua jam sebelum masuk ke pusat pembuangan undi pada  jam 12.30 tengahari.

Menurut Mohamed Awang, proses membuang undi bagi DUN Chukai untuk PRU14 kali ini dilihat berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Peratusan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka dilihat agak tinggi dan sesetengah saluran pengundi terpaksa berbaris sehingga tiga jam.

“Pengurusan pengundian di semua saluran lebih lancar dengan adanya petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu pengundi kelainan upaya dan uzur dengan bantuan kerusi roda,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas beratur lebih dua jam sebelum diminta masuk oleh petugas SPR untuk membuang undi di Pusat Pengundian yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, hari ini.

Menurut Mohamed, beliau melihat pengundi keluar sejak awal pagi untuk menunaikan kewajipan mereka dan memuji tindakan berkenaan yang menjadikan proses membuang undi semakin lancar.

“Secara umumnya saya amat berpuashati kerana tiada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh menganggu proses pengundian hari ini.

“Para pengundi kelihatan begitu matang dan memahami ideologi serta fahaman politik masing-masing.

“Saya yakin dan percaya bahawa dengan adanya kerjasama yang padu khususnya daripada para pengundi kaum Tionghua, Barisan Nasional (BN) DUN Chukai akan dapat merampas kembali kerusi berkenaan daripada parti PAS yang dimenanginya pada PRU13 yang lalu,” katanya.

Tag: