• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

PRU14: Dato' Pul Pilihan Anak Muda Alur Limbat


Ahmad Shukri

Ramai anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Marang mahu calon Barisan Nasional (BN), Dato' Saiful Bahri Baharuddin mendapat mandat untuk diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, sekali gus menunaikan janji untuk membawa pembaharuan dan perubahan fizikal.

Seorang anak muda, Ahmad Shukri Muda, 32, dari Kampung Kepong berkata, penglibatan Dato' Pul sejak empat tahun lalu sebagai Pegawai Pembangunan DUN banyak menyelesaikan masalah rakyat, namun terdapat kekangan jika dibandingkan dengan kawasan yang mempunyai ADUN daripada  Kerajaan BN.

"Saya yakin, sekiranya pengundi Alur Limbat mahu lebih pembaharuan dan pembangunan di kawasan sendiri, yang sudah lama ketinggalan ini, sepatutnya esoklah masa terbaik sebagai penentuan masa depan untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Realitinya juga jika dinilai empat tahun kebelakangan ini, kita seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan BN kerana menerusi usaha Dato' Pul juga sudah banyak menyelesaikan masalah dan memperbaiki infrastruktur seperti membuat saliran air untuk mengelakkan banjir di kawasan Kepong," katanya.

Shukri turut memaklumkan anaknya yang memerlukan rawatan turut dibantu Dato' Saiful melalui Tabung Darul Iman setelah usahanya memohon bantuan ADUN pembangkang selaku wakil rakyat di DUN itu tidah diendahkan.
Wan Khairu

Perkara yang sama diakui oleh Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 35, dari Kampung Kubang Panjang apabila mendambakan kemajuan DUN itu dan juga Marang seperti kawasan lain di Terengganu khususnya Bandar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Kemaman.

"Beliau banyak membangun infrastruktur untuk anak muda seperti balai raya Kampung Gelugor Kedai. Malah ambil peduli tentang rakyat walaupun pengadu datang dari luar kawasan Alur Limbat. Ini wakil rakyat yang kita mahukan sebenarnya," ujarnya.

Manakala, seorang penduduk, Zaipas Ismail, 43, dari Kampung Banggol Katong juga berharap Dato' Saiful dapat mengembalikan DUN itu kepada BN sekali gus merealisasikan semua janji dan memastikan pembangunan seiring dengan bandar dan pekan lain yang dimenangi BN.

"Saya harap pengundi di sini memilih pemimpin yang betul-betul mampu membangunkan kampung dan kawasan ini,"luahnya.


Tag: