• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PRU14 : Deposit Pasang Bendera Hanya Cagaran


Bayaran deposit RM50 bagi permit pemasangan bendera dan iklan pilihan raya di setiap jalan di kawasan pentadbiran Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) bukanlah perkara baharu, sebaliknya diperkenalkan sejak PRU13.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu dan menegaskan bahawa deposit itu akan dipulangkan kembali selepas 14 hari daripada tarikh pengundian.

“Tindakan kita itu berasaskan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan raya) (Majlis Perbandaran Kuala Terengganu) 1990 dan surat yang kita keluarkan kepada parti-parti politik adalah sebagai peringatan.

“Bayaran deposit ini dikenakan sebagai cagaran kepada poster-poster, lambang-lambang dan kain rentang yang dinaikkan. Kita beri tempoh selama 14 hari selepas pilihan raya untuk mereka tanggalkan.

“Kalau selepas tempoh itu ada lagi bendera yang tidak dibuang, deposit inilah yang akan kita potong. Kalau tidak, kita akan beri semua sekali deposit mereka,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kelab Ekslusif MBKT di Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan semua jalan yang akan dikenakan bayaran, sebaliknya hanya melibatkan jalan utama dan sekitar kawasan mengundi.

Bagaimanapun, bagi memberi penjelasan kepada semua parti yang bertanding, MBKT akan mengadakan taklimat selepas pengesahan pengumuman calon pada 28 April depan.

“Bagi tujuan pemantauan juga, satu pasukan ‘task force’ SPR juga akan ditubuhkan, iaitu ketua pasukan penguatkuasaan kempen pilihan raya, yang mana ia akan diketuai pegawai Kumpulan A yang kebiasaannya dari kalangan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jawatankuasa ini terdiri daripada wakil calon yang bertanding, biasanya wakil parti yang dilantik dan perkhidmatan jawatankuasa ini ialah 24 jam sehingga habis tempoh membuang undi.

“Kalau ada yang tidak berpuas hati terutamanya daripada segi kain rentang yang mengutuk lawan, bersifat rasis dan tidak bersesuaian, kita akan bincang dan tanggal. Setiap perkara atau tindakan khususnya yang menyalahi undang-undang seperti pemasangan bendera dan ceramah, jawatankuasa ini akan bersidang dan ambil kata putus,” jelasnya.

Menurut Samiun, undang-undang yang dikuatkuasakan itu perlu demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Jelasnya, Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Kuala Ibai antara kawasan larangan kerana angin yang kuat di kawasan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya sekiranya bendera yang dipasang jatuh dan menimpa pengguna jalan lain, selain jalan menuju ke istana

-Sinar Harian

Tag: