• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PRU14 : Hampir 50 Peratus Keluar Mengundi Sehingga Tengahari

Proses pengundian di satu daripada 50 pusat mengundi di Parlimen Marang. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Sehingga jam 12 tengahari ini, jumlah peratusan keluar mengundi di 401 pusat mengundi seluruh Terengganu mencapai 48 peratus.

Untuk rekod, seramai 736,632 pemilih berdaftar di negeri ini dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing sehingga jam 5 petang ini  dalam menentukan kepimpinan negara dan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. 

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry berkata, setakat tengahari, jumlah pengundi berdaftar yang sudah membuang undi mencapai 48 peratus di semua pusat mengundi menerusi 1,433 saluran. 

Katanya, daripada jumlah itu, hanya tujuh pusat mengundi akan ditutup pada pukul 3 petang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, SK Pulau Redang, SK Kuala Jenderis, SK Tepus, SK Kampung Shukor, SK Jongok Batu dan SK Sg Pergam, manakala lain-lain pusat mengundi akan dibuka sehingga pukul 5 petang. 


Katanya, mereka yang akan keluar mengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian masing-masing seperti nama pusat mengundi dan saluran mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui aplikasi MySPR Semak atau melalui laman pengundi.spr.gov.my.. 

Selain itu, kaedah lain adalah melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO.KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 atau telefon ke talian 03-88927018 atau semak di barung SPR di setiap Pusat Mengundi pada Hari Mengundi. 

"Parti-parti politik tidak dibenarkan membuka, menubuhkan atau menyenggarakan suatu pejabat atau barung dengan alasan untuk membantu pengundi-pengundi menyemak maklumat pengundian mereka. 

" Dokumen-dokumen pengenalan diri yang boleh digunakan pada hari mengundi adalah kad pengenalan, pasport, lesen memandu, resit kehilangan kad pengenalan JPN KPPK11 atau resit pengenalan sementara KPPK09," katanya. 


Tag: