• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU14: Kerajaan BN Hargai Tradisi Kaum Cina

Ahmad Razif melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan oleh Wan Nawawi,  Seng Cheng dan tetamu kenamaan lain. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai kebudayaan, kesenian dan tradisi masyarakat  Cina sebagaimana bangsa Melayu dan bangsa lain di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi sebarang aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat Hainan di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Perarakan Mazu 2018 yang berlangsung sehingga jam 11 malam.

Menurut Ahmad Razif, festival yang diadakan kali kedua ini akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri sebagai acara tahunan.

"Kita mahu mempromosikan festival ini ke peringkat antarabangsa dalam usaha memperkenal perpaduan dan keunikan negeri ini.

"Kebudayaan masyarakat cina di Terengganu memiliki sejarah panjang di mana Laksamana Cheng Hoon pernah berlabuh di negeri ini untuk mendapatkan bekalan makanan dan air tawar dalam ekspedisi ke Melaka suatu masa dahulu," katanya.

Beliau mahu sejarah itu diangkat untuk generasi muda bagi mengukuhkan jambatan perpaduan antara kaum.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Razif turut menyeru masyarakat menyokong calon BN Toh Seng Cheng (DUN Bandar) dan Dato' Wan Nawawi Wan Ismail (Parlimen Kuala Terengganu) untuk memastikan projek kesejahteraan dan pembangunan berjalan lancar.




Tag: