• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU14 : Krisis Dalaman Di Kemaman Selesai

Penyokong BN bersama sepanduk menzahirkan sokongan kepada calon yang bertanding. Foto oleh Aliffah Hanisfarhana Suhaidi


Isu dalaman yang berlaku ketika pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman pada Ahad lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti itu dianggap sudah selesai.

Dato’ Seri Ahmad Said yang juga mantan Menteri Besar itu berkata, setiap ahli parti kini sudahpun menyatakan persetujuan dan akan bersatu hati menggerakkan jentera BN bagi memenangi pilihan raya kali ini.

“Pada masa ini semua jentera parti lebih fokus bagi memastikan BN memenangi kesemua lima kerusi yang dipertandingkan pada PRU14 kali ini.

"Ini termasuklah keyakinan masyarakat Tionghua terhadap BN yang masih lagi kuat dan pasti kerusi bagi DUN Chukai akan dapat dirampas kembali kali ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai penamaan calon yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Pembandaran Kemaman (MPK), hari ini.

Menurut Ahmad, beliau menaruh keyakinan yang sangat tinggi kepada calon BN bagi DUN Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera untuk merampas kembali kerusi tersebut yang kini disandang parti Pas.


Sementara itu, Mohamed Awang Tera berkata,  krisis dalaman yang berlaku adalah satu perkara yang biasa dan semuanya telah diselesaikan.

"Kini yang penting, jentera BN akan memberikan tumpuan untuk menangkis setiap tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat,"katanya lagi.

Pada kali ini DUN Chukai akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara beliau dengan penyandangnya dari Pas, Hanafiah Mat dan Wan Anies Wan Adnan dari PKR.


Tag: