• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14: Lapan Calon BN Bekas Guru



Barisan Nasional (BN) Terengganu mengiktiraf profesion perguruan apabila meletakkan lapan daripada 32 calon yang  akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), di kalangan guru.

Mereka adalah  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar bakal merebut kerusi Seberang Takir; Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit) dan Che Mansor Salleh calon bagi Buloh Gading.

Calon lain yang disenaraikan,  Dato’ Rosol Wahid bakal merebut kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan); Dato’ Rozi Mamat (Telemong) dan Ghazali Taib (Ajil).


Ahmad Razif berkata, pemilihan mereka adalah di atas persetujuan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan juga berdasarkan kepercayaan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Katanya, kebanyakan masyarakat hari ini percaya mengenai kredibiliti dan sikap kepimpinan yang ada pada seorang guru.

“Oleh itu, tidak menjadi masalah bagi kerajaan BN melantik lapan daripada 32 calon BN Terengganu untuk menjadi pemimpin masayarakat setempat.

“Dengan ilmu yang ada, pastinya boleh membawa perubahan di DUN masing-masing terutama mengenai aspek minda masyarakat, pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latif Awang.


Hampir 5,000 guru hadir pada majlis itu yang diserikan dengan pelbagai persembahan dan penganugerahkan kepada guru cemerlang.

Majlis sama, Ahmad Razif mewakili kerajaan negeri menyampaikan wang sumbangan RM250,000 kepada untuk Tabung Hari Guru 2018


Tag: