• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14 : MCA Dekati Pengundi Tionghua




Oleh : Ezzuan Ahmad

MCA Bahagian Kemaman akan terus mendekati pengundi Tionghua atas pagar bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menang di kerusi N31 Chukai dari tangan Pas.

Pengerusi MCA Bahagian Kemaman, Datuk Seri Jamy Tan berkata, pendekatan itu sudah dibuat sejak enam bulan lalu agar dapat menambah majoriti kemenangan bagi kerusi Parlimen Kemaman pada pilihan raya kali ini.

Menurut Jamy, pengundi Cina di DUN Chukai mempunyai kira-kira 3,800 orang dan 1,800 daripadanya merupakan ahli MCA.

"Daripada 1,800 pemilih Cina berdaftar itu pula dianggarkan 80 peratus menyokong BN manakala selebihnya adalah pengundi atas pagar yang berusaha didekati agar kembali bersama BN.

"Kita membuat lawatan dari rumah ke rumah untuk menemui pengundi atas pagar dan dari situ kita cuba merapatkan hubungan dengan mereka agar sokongan mereka hanya kepada BN," katanya.

Jamy ditemui selepas program ceramah perdana di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dusun Nyior, Chukai, emaman, semalam.

Menurut Jamy, maklum balas yang di terima sangat memuaskan cuma apa yang menjadi kebimbangan ialah pengundi luar namun dia yakin pengundi tempatan akan menyokong BN.

Program ceramah berkenaan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap calon BN DUN Kijal, Dato' Seri Ahmad Said dan calon BN Dun Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera.

Apabila ditanya mengenai strategi MCA untuk menambah hati pengundi luar, Jamy memberitahu, pihaknya akan berhubung terus dengan keluarga kesemua pengundi luar terbabit.

"Kita akan sampaikan penerangan jelas mengapa perlu mereka mengundi BN. Ini kerana kalau undi Pas pun tak datangkan hasil kerana sepanjang sepenggal Pas di Chukai, tiada apa-apa perubahan pun.

"Hanya BN yang mampu buat perubahan dan boleh beri apa yang rakyat mahu," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, MCA akan terus bekerja keras dan memberi sokongan penuh kepada BN agar misi menawan kembali Dun Chukai berjaya direalisasikan.

Tag: