• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU14 : Orang Bukit Payung Mahu Kak Ton Jadi ADUN

Fazlin

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Terengganu menyaksikan sejarah tercipta apabila Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan dua calon serikandi bagi merampas semula dua daripada 15 kerusi yang disandang pembangkang. 

Pengumuman nama calon wanita yang tidak asing dalam dunia politik, To' Puan Zaitun Mat Amin, 61, mengisi kerusi DUN Bukit Payung, bukanlah suatu yang mengejutkan. Turut menggalas cabaran itu, Datuk Zainun Abu Bakar yang bertanding di DUN Sura

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan `Kak Ton' disenangi dengan kemesraannya yang sering mendasari rakyat di akar umbi di samping memperlihatkan ketokohan tersendiri, apatah lagi pernah dilantik sebagai Senator dan menganggotai Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Biarpun pada awalnya ada yang terkejut dengan percaturan BN mempertaruhkan calon wanita selepas kegagalan Nordiana Shafie, perintis calon wanita yang bertanding di DUN Batu Buruk (PRU12), namun kemampuan Zaitun ternyata tidak dipandang enteng. Malah ramai mahukan figura itu berjaya memenangi hati rakyat dan diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Seorang penduduk, Fazlin Yunus,38, dari Kampung Surau Haji Yaakob amat berharap Kak Ton mencipta sejarah tersendiri di Terengganu dan juga Malaysia sebagai `wanita besi'  yang akan merampas semula DUN itu daripada tangan pembangkang.

"Dua penggal kita ditadbir urus oleh Pas, saya berharap Kak Ton dapat sokongan dan menang kali ini.

"Saya amat mengharapkan manifesto tambahan tu dilaksanakan segera kerana ia memberi nilai tambah kepada penduduk di sini. Semoga PRU14 yang dikatakan ibu segala pilihan raya akan menjadi milik BN," katanya.

Zaitun berdepan dengan dua calon lain dalam pertandingan tiga penjuru bersama penyandang, Mohd Nor Hamzah (Pas) dan calon baharu mewakili PKR, Mohd Dalizan Abdul Aziz.


Sementara itu, Che Rosmalina Che Abu Bakar, 33, pengundi dari Kampung Laut yakin Zaitun akan menunjukkan keupayaan untuk mentadbir kembali bukit payung.

"Kita rasa teruja bila ada calon kaum ibu dalam PRU14. Harap sangat ada perubahan dalam EXCO negeri dan Kak Ton berjaya mencipta sejarah dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi memperkasakan wanita kali ini.
"Saya yakin jika sebelum ini, selama dua penggal berturut Pas memenangi kerusi ini, iaitu pada PRU12 dan PRU13, namun begitu kali ini ramai mahu BN pula menang, apatah lagi diwakili wanita (Kak Ton),"katanya lagi.

Abdul Wahab
Bagi  seorang lagi penduduk setempat, Abdul Wahab Ngah, 54 tidak kisah siapa yang menjadi calon sama ada wanita atau lelaki, asalkan wakil rakyat itu daripada BN.

"Saya cuma ingin Zaitun menang dengan harapan beliau dapat mentadbir dengan cemerlang berbanding ADUN yang lalu. Kita kena sokong kewibawaan pemimpin wanita dari Terengganu ini,"katanya.

Tag: