• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PRU14: Pertembungan Tiga Penjuru Di Kuala Nerus

Calon BN Kuala Nerus. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Kerusi Parlimen Kuala Nerus dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PKR dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Pengumuman pengesahan kesemua calon yang akan bertanding pada PRU14 dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Nerus, Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil di pusat penamaan calon di Kompleks Majlis Sukan Negeri, Kuala Nerus selepas tempoh bantahan berakhir.

Tengku Asmadi Tengku Mohamad calon BN akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus menentang Abdullah Muhamad (PKR) dan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali calon Pas.


Penyandang kerusi DUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan dicabar oleh calon PKR, Abu Bakar Abdullah dan calon Pas, Mohd Fazil Wahab.

Bagi DUN Tepuh, calon BN Dato’ Basir Ismail akan berhadapan dengan calon Pas, Hishamuddin Abdul Karim dan calon PKR, Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan.

Che Mansor Salleh (BN) dicalonkan bagi kerusi DUN Buluh Gading bakal ditentang oleh calon PKR Azri Chik dan Ridzuan Hashim (Pas).

DUN Bukit Tunggal menyaksikan calon BN, Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad disaingi oleh Dr Alias Razak (Pas) dan Fatimah Laili Omar (PKR).

Dalam pada itu kira-kira 5,000 penyokong calon BN hadir seawal pukul 7.30 pagi untuk memberi sokongan kepada calon-calon yang bertanding.


Tag: