• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14 : Pilih Parti Yang Tunai Janji, Beri Khidmat Terbaik - A. Latiff



Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang mengingatkan pengundi terutama golongan muda supaya memilih secara matang dengan melihat 'track record' parti yang mampu menjana pembangunan dan memberi khidmat terbaik.

"Mengapa kita ingin pilih parti yang tidak mampu membangun dan memberi sumbangan kepada masyarakat?

"Sedangkan Kerajaan BN di Terengganu terbukti berjaya melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU13) lalu dan bagi PRU14 ini, manifesto yang diumumkan lebih baik dan realistik," katanya ketika ditemui di Pusat Media PRU14, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

A. Latiff yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan penggal lalu mengharapkan pengundi di DUN tersebut dapat turun mengundi beramai-ramai supaya BN dapat meningkatkan majoriti perbezaan undi berbanding PRU lalu.

Beliau juga berkeyakinan bahawa perkhidmatan yang diberikan betsama jentera parti pada penggal lalu melalui bantuan, peningkatan ekonomi dan pembangunan secara bersepadu di DUN itu memberi petunjuk terbaik untuk pengundi terus menyokong BN.

Selain itu, katanya kerajaan negeri sedang membangunkan banyak pembangunan di Marang dan kestabilan politik penggal hadapan akan membantu kelancaran projek-projek itu.

Kompleks Perniagaan di Binjai Rendah bernilai 8.2 Juta hampir siap dibangunkan.



Tag: