• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PRU14 : Pok Ku Tidak Lokek Hulur Bantuan Untuk Penduduk Paka


Oleh : Ezzuan Ahmad

Nama `Pok Ku' cukup sinonim dan dikenali oleh penduduk di kawasan Paka kerana kelibatnya sering kelihatan di mana -mana majlis dan sentiasa muncul apabila penduduk memerlukan bantuannya.

Beliau yang sebelum ini merupakan Pegawai Penyelaras DUN Paka tidak lokek untuk menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja diperlukan.

Menurut Pok Ku atau nama sebenarnya Tengku Hamzah Tengku Deraman, walapun sebelum ini beliau tiada jawatan sebagai wakil rakyat tetapi kegiatan masuk kampung bagi menyelesaikan masalah penduduk adalah satu keutamaan baginya sebagai pemimpin yang dilantik kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Tidak perlu gelaran yang berhormat dalam memberikan bantuan dan perkhidmatan serta bantuan kepada penduduk tetapi amanah yang diberikan sebagai pegawai penyelaras perlu dilaksanakan" katanya.


Menurutnya, antara program rutin yang sering dilakukan olehnya selepas Pas memenangi kerusi bagi kawasan tersebut ialah menggerakkan program yang diberi nama ` Jom Bantu Rakyat'.

Katanya, semua kegiatan dan gerak kerja berkenaan sudah dilakukan sejak empat tahun lalu secara berperingkat-peringkat dengan memasuki satu kampung ke kampung yang lain serta menemui majoriti penduduk bagi melihat keperluan dan mengatasi masalah mereka.

"Kita (BN) mendekati rakyat yang memerlukan bantuan seperti pesakit kronik dan penduduk miskin. Segala info dan data berkenaan masalah penduduk kita perolehi melalui J3K (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)yang ada di setiap kawasan malahan masalah seperti ketiadaan bekalan elektrik turut kita bantu," katanya.

Beliau menambah, pelbagai bantuan dan program demi kemajuan dan kelangsungan penduduk dapat diteruskan dengan lebih baik dan lancar sekiranya BN diberi mandat untuk memenangi DUN Paka  pada pilihan raya Rabu ini .

"Pembangkang tidak membawa sebarang kemajuan di kawasan Paka ini dan selama empat tahun, Kerajaan BN yang banyak memberikan bantuan dalam mengatasi masalah yang dihadapi rakyat" katanya lagi.

Tag: